Selasa, 31 Mei 2016

Apa itu kelkatu

Hakikatnya kelkatu adalah permulaan kepada koloni anai-anai. Kelkatu merupakan salah satu kasta anai-anai yang dikenali sebagai alate. Kasta ini bertanggungjawab dalam pembiakan anai-anai. Kelkatu betina bakal menjadi ratu begitu juga dengan kelkatu jantan bakal menjadi raja.

            “ hakikatnya kelkatu adalah alate anai-anai”

            Ketika proses mencari pasangan dan kemudian mencari lokasi yang sesuai untuk membiak, kelkatu akan menanggalkan sayapnya. Justeru sejurus selepas kelkatu terbang mengerumuni lampu (atau sumber cahaya lain), banyak sayap kelkatu yang tinggal di lantai.
            Harus di awasi, apabila banyak kelkatu yang keluar, itu tandanya beberapa koloni baru anai-anai akan muncul dan bakal menjadi ancaman kepada harta benda untuk jangka masa beberapa tahun akan datang.



Isnin, 30 Mei 2016

Mengesan anai-anai di rumah

Bagaimana Mengesan Dan Mengawal Anai-anai Di Rumah 

                         Anda boleh memeriksa samada rumah anda diserang anai-anai atau tidak dengan melakukannya sendiri mengunakan dua peralatan asas iaitu lampu suluh dan pemutar skru kecil di rumah anda. Namun jika anda tidak pasti bagaimana melakukan pemeriksaan mengenal pasti kehadiran anai-anai, anda boleh memanggil syarikat yang manjalankan perniagaan kawalan serangga untuk memeriksa rumah anda dan mendapatkan harga bagi mengawalnya. Kebiasaannya syarikat perniagaan kawalan serangga akan menjalankan pemeriksaan rumah anda terhadap anai-anai secara percuma sahaja dan seterusnya mereka akan memberikan laporan samada rumah anda selamat dari serangan anai-anai atau tidak. Selanjutnya satu cadangan akan diberikan kepada anda berserta dengan harga untuk mengawal anai-anai di rumah anda. 
                     
  Terdapat berbagai teknik bagi menghapuskan anai-anai berada di pasaran sekarang. Teknik yang paling biasa diguna pakai sekian lama adalah teknik rawatan tanah dengan menggunakan bahan kimia. Teknik ini memerlukan lantai sekeliling rumah anda ditebuk sebelum disuntik dengan bahan kimia ke dalamnya bagi merawat tanah yang berada di bawah lantai rumah anda. Lantai akan ditebuk pada luar dan dalam rumah anda pada sisi dinding. Jarak lubang yang ditebuk dengan dinding adalah sekitar 6 inci dan jarak antara 2 lubang adalah sekitar 1 kaki. Bergantung kepada saiz rumah anda jumlah lubang yang akan ditebuk mungkin sebanyak 50 hingga 100 lubang di dalam rumah dan sekitar 100 atau 150 lubang di luar rumah. Jika rumah anda adalah rumah teres yang berada di tengah, hanya bahagian dalam.Prinsip asas dalam menggunakan bahan kimia adalah menghasilkan satu pagar bahan kimia bagi di antara rumah anda dan sarang anai-anai.Pada kebiasaannya anai-anai bersarang di dalam tanah di bawah rumah anda dan ia memasuki rumah melalui celahan atau rekahan yang terdapat pada struktur rumah anda dari bawah.
                          Oleh itu apabila bahan kimia disuntik melalui lubang yang ditebuk, tanah yang berada dibahagian bawah dan dinding tapak asas rumah anda akan diselaputi oleh bahan kimia yang mampu menghalang anai-anai mamasuki rumah anda.Terdapat 2 jenis bahan kimia yang biasa digunakan iaitu jenis menghalau dan jenis tidak menghalau anai-anai. Bahan kimia jenis menghalau anai-anai dapat menghalang anai-anai mendekati tanah atau struktur rumah anda yang telah diselaputi bahan kimia tersebut, ini menyebabkan rumah anda selamat dari dimasuki anai-anai tetapi tidak membunuh anai-anai jika dia sempat menukar haluan dari melalui tempat tersebut. Jika anai-anai terkena bahan kimia jenis menghalau ini, ia akan segera mati oleh bahan tosik yang ada pada bahan kimia tersebut.
                            Di antara bahan kimia aktif jenis menghalau yang berada di pasaran adalah seperti pyrethroid atau chlopyrifos yang menggunakan berbagai jenama. Jenis bahan kimia yang tidak menghalau pula akan terus disentuh oleh anai-anai yang melalui kawasan yang telah dirawat dengan bahan kimia itu. Bahan tosik yang terdapat dalam bahan kimia itu bertindak secara perlahan membunuh anai-anai. Ini membolehkan anai-anai yang lain terkena bahan kimia itu apabila tersentuh anai-anai yang telah di sepaluti bahan kimia. Bahan kimia yang tidak menghalau bertindak menghalang anai-anai merosakkan rumah anda dengan membunuh anai-anai yang tersentuh secara perlahan-lahan. Di antara bahan kimia aktif jenis tidak menghalau yang terdapat di pasaran adalah seperti Fipronil atau Imidacloprid, juga di jual dengan berjagai jenama. Bahan kimia juga digunakan bagi mengawal anai-anai menyerang struktur kayu rumah anda dengan menyembur bahan kimia pada keseluruhan kayu tersebut. Kayu yang telah diselaputi bahan kimia mampu membunuh anai-anai yang menyentuhnya.
                       
Tetapi harus dingat bahawa terdapat teknik rawatan anai secara menyembur bahan kimia pada kawasan serangan anai-anai, ini dinamakan teknik semburan setempat. Sebenarnya teknik ini hanya membunuh anai-anai pada kawasan tersebut sahaja sedangkan terdapat berjuta lagi anai-anai yang sedang merayap secara diam di bawah serta sekitar rumah anda yang tidak anda ketahui. Setelah sekeliling rumah anda ditebuk dan disuntik dengan bahan kimia, kebiasaannya struktur kayu yang terdapat pada rumah anda terutamanya pada bahagian bumbung di atas siling akan disembur dengan bahan kimia yang sama bagi menghalang serangan anai-anai pada bahagian atas rumah anda yang mungkin datang melalui bumbung rumah jiran anda.  
                             Sebenarnya cara yang lebih menjimatkan adalah dengan melakukan rawatan tanah pada waktu pembinaannya. Keseluruhan tapak rumah anda perlu dirawat dengan bahan kimia sebelum pembinaan dimulakan. Ini merupakan teknik pencegahan yang lebih menyeluruh di mana seluruh tapak rumah anda telah di adakan halangan bahan kimia dari serangan anai-anai. Namun bahan kimia yang berada di pasaran sekarang tidak dapat bertahan lama. Biasanya ia akan hilang selepas 2 hingga 5 tahun bergantung kepada jenis bahan kimia yang anda gunakan. Selepas tamat sahaja tempoh jaminan bahan kimia tersebut, rawatan baru perlu dilakukan semula melaui teknik tebukan lubang seperti di atas.

Jumaat, 27 Mei 2016

SPESIES ANAI-ANAI

            Walaupun terdapat kurang lebih 180 spesies anai-anai di Malaysia daripada keseluruhan 4,000 spesies, hanya beberapa spesies yang menyebabkan kerosakan harta benda. Menurut satu sumber, 80-90% kerosakan harta benda di Malaysia dan di Singapura diakibatkan oleh anai-anai spesies Coptotermes gestroi. Coptotermes curvignathus memakan pokok hidup. Coptotermes gestroi dan Coptotermes curvignathus adalah Subterranean termite iaitu anai-anai yang hidup di bawah tanah. Cryptotermes pula adalah anai-anai yang memakan daun-daun kering. Disamping anai-anai ini terdapat ratusan lagi spesies anai-anai yang tak mungkin dapat disenaraikan dalam blog yang sederhana ini.

                                                            Coptotermes curvignathus

                                                              Coptotermes gestroi

Khamis, 26 Mei 2016

Apa itu anai-anai

PENGENALAN ANAI-ANAI
Anai-anai ialah serangga sosial yang termasuk dalam order Isoptera. Anai-anai biasanya membuat sarang dalam tanah atau kayu. Anai-anai selalunya merosakkan kayu yang merupakan makanan utamanya. Namun, terdapat banyak spesies anai-anai yang berfaedah dalam ekosistem hutan yang berperanan sebagai penghurai kayu dan daun-daun di permukaan tanah kawasan hutan. Kira-kira 10 peratus daripada anggaran 4,000 spesies (kira-kira 2,600 telah dikenalpasti) merupakan serangga perosak.

Di Malaysia, ada tiga famili anai-anai yang biasa ditemui di negara ini iaitu Kalotermitidae, Rhinotermitidae dan Termitidae. Hanya famili Rhinotermitidae yang menjejaskan ekonomi negara dengan merosakkan tanaman kelapa sawit, bangunan dan sebagainya. Anai-anai jenis perosak ini dapat dibezakan dengan yang lain melalui cecair yang dikeluarkan semasa ia menggigit.

Kitaran hidup anai-anai adalah kompleks kerana ia hidup dalam kasta. Bermula dengan raja dan permaisurinya yang menghasilkan beribu-ribu telur dan menetaskannya. Ribuan anak anai-anai kemudiannya menjadi pekerja, askar atau kadang-kala menjadi kelekatu (anai-anai bersayap).

Kelekatu ini juga dikenali sebagai kasta pembiakan dengan mata yang telah berkembang baik berbanding kasta anai-anai lain. Kelekatu yang bersayap ini juga mempunyai jantina. Kelekatu akan keluar dari sarang dan terbang pada waktu senja terutamanya selepas hari hujan, mencari habitat baru dan kemudiannya menjadi raja dan permaisuri serta membina koloni baru.

Anai-anai pekerja biasanya tidak bersayap, mandul dan buta. Anai-anai askar juga tidak bersayap dan mandul tetapi mempunyai kepala dengan mandibel (bahagian mulut serangga) yang kuat untuk menggigit bagi mempertahankan koloni.

Selain itu, anai-anai peringkat rendah terpaksa bersimbiosis dengan protozoa dan bakteria untuk menghadamkan kayu yang dimakan. Manakala anai-anai peringkat tinggi seperti anai-anai busut menggunakan kultur kulat untuk penghadaman dan pada masa tertentu cendawan busut akan keluar dari sarang anai-anai ini.

Kebanyakan anai-anai makan secara trofalaksis iaitu askar akan memberi pekerja makan, sama ada dari mulut ke mulut atau anus (dubur) ke mulut.